Dari Hadrat Ibn Syimasah Al-Mahri Rahmatullah ’Alaih menceritakan bahawa beliau telah menziarahi Hazrat Amir Ibnul ‘As r.a ketika beliau sakratul maut. Beliau menangis begitu lama sekali sambil memalingkan wajahnya kearah tembok. Anak lelakinya telah bertanya bagi menghiburkan hatinya: Wahai ayahku! Tidakkah RasulAllah SAW telah mengkhabarkan berita gembira untuk mu itu dan ini? Lantas beliau memalingkan wajahnya dan berkata: Sesungguhnya sebaik-baik persiapan (untuk menuju ke akhirat) ialah bersaksi bahawasanya tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah SWT dan Muhammad SAW itu Pesuruh Allah.
Sesungguhnya kehidupanku telah melalui tiga zaman. Satu zaman yang mana tidak ada seorang pun yang aku lebih membenci kecuali pada diri RasulAllah SAW. Akulah orang yang paling bercita-cita bagaimana supaya dapat aku membunuh Baginda RasulAllah SAW. Inilah zamanku yang paling buruk. Kalaulah aku mati ketika itu, nescaya aku menjadi ahli neraka.
Maka apabila Allah SWT menjadikan islam didalam hatiku, aku telah datang bertemu Nabi SAW dan aku berkata: Hulurkanlah tanganmu ya RasulAllah! Lalu Nabi SAW menghulurkan tangannya. Lantas aku menarik tanganku kebelakang. Baginda SAW bertanya: Kenapa ini wahai Amir? Aku berkata: Aku mahu satu syarat daripadamu! Nabi SAW bertanya: Apakah syarat yang kamu mahu? Aku berkata: Aku mahu supaya diampuni. Nabi SAW bersabda: Tidakkah kamu mengetahui wahai Amir, bahawa (memasuki) Islam telah menghapuskan segala dosa-dosa yang lampau? Dengan hijrah juga, Allah SWT mengampuni dosa-dosa yang lalu, dan dengan Haji juga, Allah SWT mengampuni semua dosa-dosa yang telah dilakukan sebelumnya? Inilah zaman dimana tidak ada seorang pun yang lebih aku cintai kecuali RasulAllah SAW. Oleh kerana kecintaan, kemuliaan dan penghormatanku itu, aku tidak sanggup untuk menatap wajah baginda RasulAllah SAW. Kalaulah aku diminta untuk menggambarkan wajahnya, aku tidak dapat berbuat demikian kerana aku tidak pernah melihat wajah Nabi SAW sepenuhnya. Kalaulah aku mati ketika itu, aku berharap akan berada dikalangan orang-orang yang memasuki syurga.
Kemudian aku menemui satu zaman, yang mana aku terlibat dalam banyak urusan dunia, yang mana aku tidak mengetahui bagaimana keadaan diriku sendiri ketika itu. Oleh kerana itu, ketika aku mati nanti, janganlah diiringi jenazahku dengan wanita-wanita yang meratapi kematianku, dan janganlah membawa api. Apabila jenazahku telah dikebumikan, maka timbuslah dengan tanah, kemudian berdirilah ditepi kuburku untuk beberapa ketika, dengan kadar masa seekor unta disembelih dan dibahagi-bahagikan dagingnya supaya hatiku merasa terhibur. Aku mengetahui bahawa apa yang akan aku jawab dari soalan-soalan yang akan ditanya oleh utusan-utusan Tuhanku.
(Hadis Riwayat Muslim, ٣٢١ : ﺭﻗﻡ ,... ﻗﺑﻟﻪ ﻤﺎ ﻳﻬﺪﻡ ﺍﻹﺴﻼﻡ ﻜﻭﻦ ﺑﺎﺏ )
Rujukan: Kitab Muntakhab Ahadith, Muhammad Yusuff Al-Kandahlawi, Penerbit: Klang Book Centre, Cetakan Pertama 2004.
”Dan ketika Tuhanmu memaklumkan: 'Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih" (Surah Ibrahim: Ayat 7)
“Dan taatilah Allah dan RasulNya, jika kamu adalah orang-orang yang beriman” (Surah al Anfāl : Ayat 1)
Apa yang diberikan Rasul kepada kamu, maka ambillah ia, dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah” (Surah al Hasyr : Ayat 7)
Hidup ini penuh nikmat, zahirkan kesyukuran kita dengan amal sebelum menjelma kematian. Semoga ianya memberi manfaat untuk kita ambil iktibar dalam menjalani kehidupan seharian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan